SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) sepatutnya bertanya kepada diri sendiri mengapa gabungan itu gagal meraih sokongan pengundi Melayu, bukannya menyalahkan parti lain.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebelum ini beliau pernah menyatakan gabungan terbabit gagal mengurus sensitiviti orang Melayu dengan baik, namun telah menimbulkan rasa kurang senang mereka
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebelum ini beliau pernah menyatakan gabungan terbabit gagal mengurus sensitiviti orang Melayu dengan baik, namun telah menimbulkan rasa kurang senang mereka.
"Saya ada sebut bahawa sensitiviti orang Melayu tidak diurus dengan baik oleh PH, jadi mereka marah dengan mengatakan saya memainkan isu perkauman.
"Tapi saya nak minta PH cuba renungi dan bermuhasabah diri sedikit kenapa mereka tidak popular dalam kalangan pengundi Melayu," katanya ditemui pemberita ketika bersarapan pagi bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap keputusan calon-calon PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, didapati sehingga 10 peratus undi daripada pengundi Melayu.
"Di Johor saya baru dapat angka daripada kajian yang telah dibuat dan mendapati calon-calon PH tidak mendapat 10 peratus pun undi orang Melayu.
"Jadi, PH sepatutnya bertanya kepada diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain, sebelum mengatakan saya memainkan isu perkauman dan sebagainya," katanya.
Tambah beliau, kegagalan gabungan tersebut untuk mendapatkan undi daripada orang Melayu tidak ada kena mengena dengan BN atau pun Perikatan Nasional.
Dalam pada situ beliau berpendapat, BN perlu bekerja lebih kuat lagi bagi memastikan gelombang biru di Johor turut dirasai di Negeri Sembilan.
Ini kerana katanya, di negeri ini, BN disifatkan sebagai parti 'underdog' kerana kerajaan negeri di bawah pentadbiran PH.
"Walaupun BN pelengkap di sini, tapi Negeri Sembilan ditadbir oleh PH, jadi kitalah menjadi 'underdog'.
"Tapi insya-ALLAH dengan gabungan kerjasama antara BN dan PN, manifesto kita selain kekecewaan rakyat sendiri terhadap pentadbiran pH sama ada di peringkat pusat atau di Negeri Sembilan, saya rasa ia boleh memberi sedikit kelebihan kepada kita dalam PRN ini," katanya.
Selain itu ditanya mengenai keputusan BN untuk kekal komited bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, Khairy berpendapat ia merupakan keputusan yang baik dan matang.
Beliau berkata, keputusan itu penting bagi memastikan negara terus berada dalam keadaan stabil, lebih-lebih lagi ketika berdepan krisis global yang masih belum selesai.
"Kita nak menampakkan satu kematangan, iaitu di peringkat Pusat selagi BN dan UMNO tidak dipersalahkan. Sebab saya nampak setiap kali naik pentas ceramah, kita dipersalahkan. Janji-janji tidak dapat ditunaikan kononnya sebab kita.
"Saya rasa itu bukanlah pendirian yang boleh kita terima, tetapi demi kestabilan negara dan dalam menghadapi krisis global yang masih belum selesai di Asia Barat, kita bersikap profesional," katanya.
Bagaimanapun kata KJ, keanjalan politik hari ini telah menuntut BN melakukan sesuatu yang sedikit berbeza di peringkat negeri.